Sunday, April 10, 2011

STUDIO FILEM Sejarah filem Malaysia telah dimulakan di Singapura seawal tahun 1940an, filem pertama ialah Laila Majnun pada 1933 arahan B. S. Rajhans. Dunia filem ketika itu telah dipelopori oleh dua buah studio yang terkenal iaitu studio Shaw Brothers dan Keris Filem. Keris Filem telah menukar namanya kepada Cathay Keris pada 1948 atas alasan yang tertentu.

Penukaran tersebut telah menjadikan Ho Ah Loke dan Loke Wan Tho sebagai rakan kongsi. Studio Shaw Brothers yang terletak di Jalan Ampas Singapura, adalah milik dua orang adik beradik iaitu Run Run Shaw dan Rumee Shaw. Bermula dengan kehadiran pengarah-pengarah filem India Shaw Brothers telah menjadi tapak bagi permulaan kerjaya pengarah filem Melayu. Persaingan antara Shaw Brothers dan Cathay Keris menjadikan kedua-duanya mahu menjadi yang terbaik dan terkenal.

Melalui dua buah studio yang dibina di Singapura ini muncul ramai artis yang terkenal hingga ke hari ini. Setiap studio telah bertindak sebagai sebuah akademi dalam melahirkan artis yang menjadi pujaan ramai. Antara artis yang menjadi pujaan ketika itu ialah Siput Sarawak, Maria Menado, Latifah Omar, Nordin Ahmad, Ahmad Mahmood,Normadiaah dan ramai lagi. Setiap studio mempunyai artisnya sendiri, oleh itu tidak hairanlah jika sesebuah filem yang dikeluarkan mudah dikenali melalui watak utamanya. Senario ini seolah-olah mengikat pelakon supaya tidak berhijrah ke studio yang lain.

Selain dari dua buah studio yang terkenal ini terdapat juga studio-studio lain seperti Nusantara Film dan Rimau Film. Studio-studio filem yang kecil ini tidak banyak mengeluarkan filem berbanding dengan Shaw Brothers dan Cathay Keris. Bagi Shaw Brothers dan Cathay Keris mengeluarkan lebih dari lima buah filem dalam setahun merupakan satu kemestian bagi mereka. Pengarah filem India yang terkenal seperti B.N Rao, L. Krishnan, S Ramanathan dan ramai lagi, menjadi aset bagi dua buah studio yang terkenal ini.

Zaman kegemilangan Shaw Brothers dan Cathay Keris di Singapura telah menemui kegelapannya seawal tahun 1960an iaitu pada tahun 1963. Kejatuhan zaman gemilang filem di Singapura ini telah menyebabkan pengusahanya beralih arah ke Tanah Melayu iaitu Malaysia, berpusat di Kuala Lumpur. Hal ini adalah disebabkan penerimaan orang tempatan terhadap filem sudah mula berkembang. Perpindahannya telah dimulakan oleh Sarimah dan P. Ramlee. Tapak studio yang baru terletak di Jalan Hulu Kelang, Ampang.

Studio yang baru dibuka itu telah dinamakan sebagai Studio Medeka ataupun Studio A. Filem pertama keluaran Merdeka Studio ialah Tun Teja pada tahun 1961 arahan Datuk L. Krishnan. Filem Tun Teja merupakan sebuah filem yang telah mendapat anugerah Tayangan Di Raja. Studio Merdeka dikenali dengan nama Merdeka Film Production Ltd. dimiliki oleh H. M. Shah dengan rakan kongsinya iaitu Ho Ah Loke. Namun begitu Studio ini telah diambil alih oleh Shaw Brothers pasa tahun 1966, berikutan Ho Ah Loke tidak mempunyai pawagam sendiri, dan pihak Shaw Brothers bertanggungjawab dalam menayangkan semua filem yang dikeluarkan ketika itu.

Seterusnya Studio Merdeka telah dijual oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau FINAS dengan harga RM 1.4 juta, pada 7 FEBRUARI 1985. Pembikinan filem di Studio Merdeka tidaklah serancak sewaktu di Studio Jalan Ampas. Hal demikian disebabkan oleh peralatan yang tidak mencukupi telah membataskan daya kreativiti pengarah. Punca lain adalah kerana kemunculan televisyen telah menjadikan filem kurang diminati. Filem terakhir keluaran Studio Merdeka adalah Adik Manja arahan Othman Hafsham, pada tahun 1980. Sepanjang penubuhan Studio Merdeka filem Bukan Salah Ibu Mengandung arahan Jins Samsudin merupakan filem yang paling berjaya. Dengan penutupan Studio Merdeka di Hulu Kelang, maka berakhirlah zaman pengeluaran filem dari pemodal cina. Perusahaan filem Melayu ketika ini memasuki era baru iaitu produser bumiputera.

No comments:

Post a Comment